Rabu, 24 November 2010

SISTEM PENDIDIKAN AGAMA NEGERI JOHOR

LATAR BELAKANG PENUBUHAN


Pendidikan secara formal di Negeri Johor telah wujud di Teluk Belanga lagi sebagai pusat pentadbirannya ketika itu. Pada 1840 sebuah Sekolah Melayu telah didirikan di Kampung Gelam Singapura dan pada tahun 1846 Sekolah Melayu Telok Belanga telah ditubuhkan. Pada tahun 1855 Gabenor Blundell (Gabenor Negeri-negeri Selat) telah mengadakan perbincangan pendidikan anak-anak Melayu di Singapura dan Johor. Temenggung Ibrahim telah menyambutnya dengan sikap positif dan menyumbang $500.00 setahun untuk sebuah sekolah bagi mengajar Bahasa Melayu (Rahimah Abdul Aziz dan Rahmat Saripan, 2002:47-48). Setelah pusat pemerintahan Johor berpindah dari Telok Belanga ke Tanjung Putri 1866 segala urusan pentadbiran turut berpindah.


Perancangan A.M. Skinner pada 1872 yang membahagikan sekolah Melayu pada sesi pagi dan pendidikan Bahasa Arab dan al Quran di sebelah petang, memungkinkan kewujudan sekolah al Quran. Rancangan Skinner ini telah mendapat sambutan daripada masyarakat Melayu di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, juga di Negeri Johor  (Sufean Husin,1993 : 12-13). Bermula pada tahun 1878 sekolah Melayu pertama di Negeri Johor dibina dengan nama ’Sekolah Melayu Kampung Kandang Ayam’ yang terletak di perkarangan Istana Besar Johor Bahru, berhampiran bangunan pengawal istana (Rahimah Abdul Aziz dan Rahmat Saripan, 2002:49).


Usaha awal Temenggung Ibrahim ini telah diteruskan oleh Sultan Abu Bakar, dengan mewujudkan sebuah jabatan untuk menguruskan ehwal pentadbiran sekolah bermula tahun 1883.  Jabatan ini telah diketuai oleh Datuk Bentara Dalam Mohd Ibrahim Munsyi dan dibantu oleh Syed Alwi al-Kudsi sebagai Kerani Besar. Pada tahun tersebut telah direkodkan kewujudan sekolah orang Melayu di Tanjung Surat, Pengerang dan Bandar Kota Tinggi.


Menurut kajian Profesor Khoo Kay Kim, Mohd Fadzil Othman, dan Jazamuddin Baharudin (1981:49), institusi pendidikan telah ditadbir di bawah satu bumbung yang dikenali sebagai Jabatan Pelajaran dan Cetak Kerajaan pada tahun 1885 berikutan pertambahan sekolah-sekolah Melayu, Inggeris, pertanian, dan percambahan sekolah-sekolah agama.


Kesan daripada penguatkuasaan undang-undang bertulis oleh Sultan Abu Bakar yang dinamakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 fasal 28, maka satu rombakan besar bagi menstruktur semula jemaah menteri (exco) kerajaan Johor telah dibuat. Hasilnya, pentadbiran pelajaran telah digabungkan bersama pentadbiran agama dengan nama Jabatan Agama dan Pelajaran yang diterajui oleh Yang Amat Mulia Ungku Muhd. Khalid (D.K., S.P.M.J.) sebagai Yang Dipertua. Jabatan Agama dan Pelajaran ini telah bertindak sebagai sebuah kementerian kerana salah seorang ahli jemaah menteri (exco) kerajaan Johor pada masa itu adalah Yang Dipertua Jabatan Agama dan Pelajaran. Setelah itu sistem pendidikan di Negeri Johor dimajukan lagi oleh Sultan Ibrahim (1895-1959) dengan mengadakan Enakmen 1902 yang mewajibkan anak-anak laki-laki yang berumur 7 tahun hingga 16 tahun bersekolah (Sejarah Sekolah-sekolah Johor, t.t:4).


Pada tahun 1906 Bahagian Pelajaran termasuk pelajaran sekolah koran (Quran) telah dipisahkan menjadi sebuah Jabatan yang terasing. Sejak dari itu, ia telah berjalan sendirian dan lebih mengkhusus kepada bidang pendidikan semata-mata bagi mengurus sekolah Melayu di sebelah pagi dan sekolah Quran di sebelah petang di bangunan yang sama kebanyakkannya.


Mulai tahun 1920 struktur sekolah al Quran telah dipertingkatkan lagi dengan penambahan mata pelajaran Tauhid, Feqah dan Tasawuf dan pada tahun 1927 pelajaran Ibadat dan Munakahat telah ditambah. Sehubungan dengan itu sekolah al Quran telah diubah kepada sekolah al Kitab. Pentadbiran sekolah-sekolah ini telah dibahagikan mengikut zon. Bilangan guru di zon Johor Utara yang berpusat di Muar seramai 7 orang guru dan seorang Guru Besar, di zon Johor Selatan yang berpusat di Johor Bahru seramai 18 orang guru dan zon Johor Tengah yang berpusat di Batu Pahat seramai 3 orang guru.


Pengurusan sekolah agama oleh pihak kerajaan negeri telah mendapat perhatian berat oleh baginda tuanku sehingga pada tahun 1918 Sultan Ibrahim telah bertitah supaya Sekolah Quran (Sekolah Agama Kerajaan sebelah petang) ini diberi perhatian dan diurus dengan baik. Cadangan untuk merubah pendidikan agama untuk diletakkan di bawah seliaan Jabatan Agama telah disuarakan sekitar tahun 1927 dan semakin kuat gesaan ini apabila Penguasa Pelajaran di Jabatan Pelajaran ini diketuai oleh orang Inggeris pada tahun 1933 seorang yang bernama Mr Cheeseman. Namun cadangan ini tidak berjaya dilaksanakan sepenuhnya. Pada masa yang sama satu jawatankuasa telah dibentuk bagi mengawal pelajaran sekolah agama iaitu Jemaah Jawatankuasa Pelajaran Agama yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua Jabatan Agama Johor manakala hal ehwal pejabat masih kekal di bawah pentadbiran tuan penguasa pelajaran.


Pentadbiran sekolah agama telah berjalan dengan baik seiring dengan perkembangan sekolah Melayu sehingga berlaku peristiwa yang menjadi sejarah hitam negeri ini dalam Perang Dunia Kedua antara tahun 1941 hingga 1945. Dalam tahun-tahun pendudukan Jepun, Pejabat Pelajaran Agama dan banyak sekolah agama yang terpaksa ditutup sementara dan ada yang rosak kerana dijadikan markaz tentera kotai Jepun. Mata pelajaran agama hanya diajar di sekolah vernakular.


Apabila Jepun menyerah diri dan pihak komunis berleluasa maka pihak British telah kembali ke Tanah Melayu termasuk di Johor. Sekali lagi pentadbiran pendidikan agama diterajui oleh orang Inggeris. Semangat patriotisme masyarakat Melayu yang banyak diterapkan di sekolah agama dan di sekolah rakyat terus membara memperjuangkan maruah bangsa dan agama sehingga mencetuskan desakan kuat supaya pentadbiran sekolah agama ini dipisahkan seluruhnya daripada pentadbiran Jabatan Pelajaran seterusnya digabungkan dengan Jabatan Agama demi kesinambungan agama Islam itu sendiri.


Akhirnya, pada tanggal 16 Mac 1947 Pendidikan Agama telah dipersetujui untuk diserahkan kepada Jabatan Agama Johor. Walau bagaimana pun, perpindahan secara rasmi telah dibuat pada 1 Julai 1947 dan ia menandakan satu era baru bagi pentadbiran pelajaran agama di negeri Johor sehingga ke hari ini. Penstrukturan baru pentadbiran pendidikan agama di Johor telah digubal semula dan Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama kini bertanggungjawab kepada Yang Dipertua Jabatan Agama Johor sepenuhnya bermula tarikh keramat tersebut. Perubahan struktur perjawatan juga adalah kesan daripada keperluan semasa pertumbuhan pesat sekolah-sekolah agama dan peluasan lokasi sekolah serta pertambahan bilangan murid-muridnya. Sebagai contoh, jawatan-jawatan ketua pentadbiran pendidikan agama ini iaitu Datuk Bentara Dalam, Penguasa Pelajaran dan Cetak Kerajaan, Penguasa Pelajaran, Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama, Pemeriksa dan Pendaftar Sekolah-sekolah Agama, Pengarah Pelajaran Agama dan yang terkini adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor.



SISTEM SEKOLAH AGAMA KERAJAAN JOHOR


Sebelum kurun ke 20, sistem pengajian agama yang wujud di negeri Johor hanyalah dalam bentuk sistem pondok iaitu murid-murid belajar agama di madrasah atau di pondok atau di rumah yang dipunyai oleh tok-tok guru, alim ulama, dan orang-orang yang dianggap memiliki ilmu agama di kalangan masyarakat setempat. Pada masa yang sama mereka juga diajar dengan ilmu-ilmu kemahiran lain seperti ilmu mempertahankan diri, ilmu kemahiran hidup dan sebagainya.


Selepas tahun 1985, sekolah agama ini dikenali dengan nama Sekolah Koran (Quran). Menurut kajian sekolah al Quran yang khusus diadakan oleh kerajaan Johor adalah Sekolah Seri Kopi, Johor Bahru yang telah wujud pada tahun 1901 (Projek Pelajar-pelajar Kewartawanan, Kajian Sebaran Am, Institut Teknologi Mara, 1987:23). Sekolah Seri Kopi ini kemudiannya berpindah ke Sekolah Melayu Air Molek kemudian kepada Sekolah Agama Bukit Zahrah dan kini di Sekolah Agama Bandar Johor Bahru. Menurut kajian Arbaiah Bte Soehod pula, sekolah al Quran pertama di Negeri Johor adalah sekolah al Quran Kukup, Pontian pada tahun 1907 yang menumpang di Sekolah Melayu Kukup di sebelah petang dan dibina dengan bantuan kerajaan. Berasaskan manuskrip asli Syair Abdul Rahman yang menyentuh pendidikan agama, di kawasan Padang, Muar pendidikan agama berasaskan al Quran telah bermula sejak tahun 1850-an lagi di Muar(Rahimah Abdul Aziz dan Rahmat Saripan, 2002:71).


Berdasarkan rekod yang dipercayai, sistem sekolah agama ini hanya menawarkan pembelajaran darjah 1 hingga darjah 5 sahaja antara tahun-tahun 1918 hingga 1927.  Kemudian pada tahun 1929, kelas Darjah Enam Sekolah Agama petang Kerajaan Johor dibuka dan akhirnya pada tahun 1930, kelas Darjah Khas dibuka kepada murid-murid lepasan darjah enam yang berkelayakan sebagai persediaan untuk menjadi guru agama atau jawatan-jawatan lain berkaitan keagamaan. Pada awalnya, murid lelaki sahaja yang bersekolah namun semakin hari murid perempuan juga minta diberi ruang untuk belajar. Sekolah Agama Bukit Zahrah adalah sekolah agama yang mula-mula menawarkan pengajian sekolah agama sebelah pagi.


Pada 4 Januari 1999 Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) mula diperkenalkan di Negeri Johor dengan setiap daerah sebuah SRAB dibuka. Di sekolah ini pelajaran akademik digabungkan dengan pelajaran sekolah agama dan sesi persekolahannya bermula jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang.  Sebanyak dua buah darjah sahaja dibuka diperingkat awal untuk darjah satu seterusnya pada tahun berikut darjah dua sehingga darjah enam. Seterusnya bermula sesi persekolahan 2001 Tadika Agama Johor (TAJ) dibuka di Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor.



PENUBUHAN MAAHAD JOHOR


Maahad Johor yang diasaskan pada tahun 1960 sebenarnya telah mula ditaja pada tahun 1958, iaitu semasa Y.M Ungku Ismail menjadi Yang Di Pertua Jabatan Agama Islam Johor.  Pada peringkat awalnya idea mewujudkan Maajad Johor telah dikemukakan oleh Persatuan Pelajar Sekolah Arab Kluang yang kemudiannya diajukan oleh Ustaz Mohd Lazim bin Saim kepada pihak Jabatan Agama Islam Johor.  Di zaman Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Hj Hassan Yunus, idea penubuhan Maahad Johor telah direalisasikan di dalam mesyuarat yang dipengerusikan olehnya sendiri pada tahun 1958.


Isu penubuhan ini telah disampaikan oleh tuan Hj Abdul Ghani bin Hj Yahya.  Walaupun cadangan itu mendapat tentangan hebat daripada ahli mesyuarat pada peringkat awalnya namun Hj Abdul Ghani lewat mendesak agar Maahad Johor perlu ditubuhkan.  Pertama, untuk melihat sebuah sekolah menengah arab yang ulung muncul di negeri Johor sebagai pusat pengajian yang berperanan memperkembangkan agama islam di negeri Johor ini.  Kedua, keadaan masyarakat Melayu yang menurut pandangan beliau sangat lemah dalam hal-hal agama pada masa itu.


Akhirnya atas desakan itu, maka penubuhan Maahad Johor telah dipersetujui oleh ahli-ahli mesyuarat.  Dengan itu, sebuah Jawatankuasa Penaja telah dibentuk, terdiri daripada enam orang ahli termasuk seorang Pengerusi dan seorang Setiausaha.  Mereka ialah :


Pengerusi    :   Datuk Hj Abdul Jalil bin Hj Hassan
Setiausaha  :   Hj Muhammad Nasir bin Hj Muhammad Ali
A.J.K          :   Hj Ismail bin Omar Abdul Aziz,vHj Abdul Ghani bin Yahya,Cikgu Talib bin Kassim dan Syed Othman bin Ali Al-Idrus




Sebenarnya, penubuhan Maahad Johor yang menggunakan Bahasa Arab sepenuhnya tidak ada dalam dasar Kerajaan Johor tetapi disebabkan persetujuan telah dicapai bagi penubuhannya di Johor Bahru maka, Kerajaan Johor telah bersetuju dan merestui penubuhan Maahad Johor.  Malah Kerajaan Johor telah mengurniakan sebidang tanah di Jalan Datin Halimah, Larkin Lama, Johor Bahru sebagai tapak Maahad Johor dan bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan.  Oleh kerana Kerajaan Johor tidak dapat menampung pembiayaan pembinaan Maahad Johor seratus peratus maka, pihak Jabatan Agama Islam Johor telah mengarahkan Bahagian Zakat dan BaitulMal mengindahkan pembinaan bangunan  Maahad Johor.


Pada 17 Oktober 1960, bangunan Maahad Johor telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Di Pertua, Jabatan Agama Johor iaitu Datuk Raja Hj Omar bin Chik yang turut dihadiri oleh Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Johor, para ibu bapa dan pelajar-pelajar yang pertama menjadi penuntut di Maahad Johor.




PENUBUHAN SEKOLAH MENENGAH AGAMA KERAJAAN JOHOR  (SMAKJ) KLUANG                                          


LATAR BELAKANG ( 1988 – 1993 )
                               
 Kerajaan Johor telah menubuhkan Sekolah Agama semenjak tahun 1918. Ia berkembang dengan pesat mengikut perkembangan masa. Pada akhir tahun 1997 terdapat sebanyak 637 sekolah agama. Sebahagiannya mempunyai bangunan sendiri dan sebahagian menumpang sama ada di bangunan  Sekolah Kebangsaan atau yang disediakan oleh Felda atau Felca atau dengan menumpang di Balai Raya, Balai Islam, kem tentera dan lain-lain.
                
Jumlah murid sehingga November 1997 ialah seramai 182,512 orang. Purata nisbah guru berbanding murid masih lagi 1:70 orang. Namun bagi setengah daerah seperti Johor Bahru, Segamat, Pontian dan Kluang nisbahnya melebihi anggaran di atas.


Walau bagaimanapun Sekolah Agama Kerajaan Johor adalah terbatas hanya setakat sampai darjah khas sahaja dan tidak mempunyai saluran lain untuk pelajar-pelajar menyambungkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi seperti kolej dan universiti. Oleh sebab itu tidak ada pelajar-pelajar lepasan Sekolah Agama Kerajaan Johor yang berkhidmat di Kementerian Pendidikan sebagai guru agama di sekolah menengah hingga hari ini. Sementara guru-guru yang berkhidmat di sekolah rendah pula tidak diambil dari kalangan kelulusan Darjah Khas sebagaimana sebelumnya disebabkan JPA telah meningkatkan syarat kelayakan kepada 4 sanawi.
    
Untuk memenuhi perkembangan dan keperluan pendidikan semasa, maka Kerajaan Johor telah mengadakan beberapa siri seminar mengenai pendidikan agama di Negeri Johor. Seminar terakhir yang resolusinya dijadikan keputusan untuk meningkatkan pendidikan  agama keperingkat yang lebih tinggi telah diadakan pada bulan april tahun 1981 di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahin, Johor Bahru (MPTI).


Sebagai langkah pertama ke arah peningkatan pendidikan agama di Negeri Johor, Kerajaan Negeri telah bersetuju menubuhkan Sekolah Menengah Agama di Kluang sebagai Pilot projek kepada pendidikan menengah agama di Negeri Johor.


Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang merupakan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor yang pertama, ditubuhkan  pada tahun 14 April 1988. Pentadbiran sekolah ini diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam Johor.

1 ulasan:

  1. assalammualaikum, maaf bertanya. boleh saya tahu tuan dapat maklumat ini daripada mana?

    BalasPadam